Life: Ucapan Wakil Mahasiswa Tahun Akhir

(so here i put my last speech at upm as a remembrance)


Hadirin sekalian,

Alhamdulillah, setinggi-tinggi puji dan syukur ke hadrat Ilahi di atas limpah kurniaNya serta selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. malam ini merupakan kali ketiga saya menghadiri Malam Anugerah Kecemerlangan pendeta. Pertama sebagai penyajak, kedua sebagai pengerusi dan ketiga sebagai pengucap. InsyaAllah jika tiada aral melintang, ini juga yang terakhir kalinya. Malam ini juga merupakan malam terakhir bagi kami, seluruh mahasiswa tahun akhir dapat berkumpul bersama-sama untuk mengimbas kembali setiap satu cebisan kenangan, pahit manis, yang pernah kami kongsi bersama di bumi Kolej Pendeta Za¡¦ba.

Kebanyakan rakan-rakan yang bersama-sama saya di sini adalah rakan-rakan tahun tiga Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi serta sebahagiannya rakan-rakan tahun empat. Selama tiga empat tahun kami bermukim di KPZ, cacamerba pengalaman telah kami saksi dan lalui bersama.

Mula-mula melangkah masuk ke KPZ pada tahun pertama, bermula dengan minggu orientasi, berkenalan antara satu sama lain di samping cuba menyesuaikan diri dengan suasana universiti. Kami juga diberikan nama blok masing-masing yang sehingga kini menajdi satu memori manis bagi kami semua.

Masuk tahun kedua, masing-masing sudah semakin sibuk dengan pelajaran dan tidak kurang juga dengan pasangan masing-masing. Blok cendekiawan pun sudah bertukar tangan dari siswa ke siwi. Kami adalah barisan siswa terakhir yang sempat menginap di situ. Aktiviti-aktiviti kolej pun berjalan semakin rancak dan suasana tinggal sebumbung semakin dirasai. Setiap kali ada acara, pasti ada tarian zapin, tarian kipas dan tarian Hindustan hingga bergegar pentas dibuatnya. Inilah antara kenangan-kenangan indah yang takkan luput dari ingatan.

Dan dalam tahun terakhir ini, kolej terasa agak kesunyian bilamana ramai yang pergi menjalani latihan praktikal dan ada yang menetap di luar kolej serta sukar untuk berhubungan. Terasa seperti kehilangan sebahagian besar ahli keluarga sendiri.

Tetapi pada malam inilah kita semua dipertemukan semula dalam Malam Anugerah kecemerlangan Pendeta. Namun, dalam beberapa minggu lagi, segala-galanya akan kita tinggalkan, kolej yang telah kita diami selama tiga empat tahun sudah bersiap sedia memberikan lambaian terakhirnya, diiringi kata-kata semangat untuk kita meneruskan perjuangan di luar sana dengan harapan kita akan berjaya mencapai apa yang kita impikan selama ini. Kita akan membawa haluan masing-masing dan akan bersua semula entah bila.

Hadirin sekalian,
Sememangnya masa bukan di tangan kita. Kita selalu leka bahawa sesungguhnya pertemuan akan membawa kita kepada perpisahan. Maka dalam ruang masa yang sedikit cuma yang telah diberikan lehNya ini, inilah masanya untuk yang selama ini bermasam-masam muka, menarik muka antara satu sama lain untuk berjabat tangan, menghulurkan kemaafan, serta yang sejak dulu lagi mahu berkenalan, mungkin malam inilah kali terakhir kita boleh berbuat demikian. Kita lupakan sengketa lama, kita jalinkan semula ikatan yang lebih erat. Dan saya secara peribadi, ingin meminta maaf kepada rakan-rakan yang mungkin terasa hati dengan sebarang perlakuan dan perkataan saya sepanjang berada di KPZ. Saya hanyalah manusia yang lemah yang tidak dapat lari dari melakukan kesilapan.

Maka sebagai mewakili seluruh mahasiswa tahun akhir Kolej Pendeta Za¡¦ba, jika ada salah dan silap yang telah kami lakukan kepada adik-adik siswa dan siswi, ayahanda Tuan haji Mastor, Umi dan semua staf kolej, sepuluh jari kami susun, ampun maaf kami pinta, serta halalkan makan dan minum kami sepanjang tiga empat tahun bermukim di Kolej Pendeta Za¡¦ba. Dengan seluruh ucapan terima kasih, apresiasi tanpa noktah atas dedikasi dan iltizam kalian dalam memberikan yang terbaik kepada kami. Serta untuk anda semua:

Telah kita harungi onak dan duri,
Telah dirasa susah dan senang,
Jauhlah kami membawa diri,
Dekat jua hati mengenang.

Jauhlah kami mebawa diri,
Dekat jua hati mengenang,
Biarpun takkan bersua lagi,
Dalam doa kami pohon dikenang.

Sekian, wbt.

No comments:

Post a Comment