Watch: District 9

Yang menarik minat Kaizar untuk menonton filem District 9 ini adalah kerana ia diterbitkan oleh Peter Jackson yang popular dengan trilogi Lord of the Ring, kiranya boleh dijamin berkualiti tinggi untuk ditonton di pawagam. Selain tu mengikut bacaan dari majalah dan suratkhabar, filem District 9 ni berbeza daripada filem-filem makhluk asing yang lain kerana ianya bukan mengenai makhluk asing yang ingin menjajah dan memerangi manusia sebaliknya tentang manusia yang memperhambakan makhluk asing yang datang ke bumi.

Keseluruhan filem District 9 adalah berkonsepkan dokumentari sepertimana filem Cloverfield, diselitkan dengan sedutan berita dan sesi temuramah. Pada permulaan filem, banyak adegan-adegan yang melucukan, makhluk asing yang diperlakukan seperti pelarian, tinggal dalam kawasan setinggan kotor di District 9, Johannesburg selama 20 tahun dengan pelbagai masalah sosial seperti laga serangga asing, pelacuran inter spesies, dan penjualan senjata haram. Mereka juga ketagih makan makanan kucing serta dipanggil "prawn" kerana menyerupai udang. Karakter utama adalah seorang yang lurus bendul bernama Wikus van der Merwe yang kemudiannya ditugaskan untuk menempatkan semula makhluk-makhluk asing tersebut ke penempatan lain. Sememangnya di permulaan filem, ceritanya sangat-sangat kelakar dan melucukan.

Namun setelah Wikus bertemu seorang (atau seekor?) makhluk asing bernama Christopher Johnson (mungkin pemimpin di kalangan makhluk-makhluk asing tersebut) dan anaknya, mood filem berubah menjadi lebih serius. Wikus terkena sejenis cecair asing yang berfungsi seperti minyak untuk kapal makhluk asing dan badannya mula mengalami transformasi menjadi makhluk asing. Wikus menjadi buruan pihak berkuasa yang inginkan tubuh badannya sebagai spesimen ujikaji dan ujian senjata makhluk asing yang hanya bertindakbalas dengan DNA makhluk asing, manakala kumpulan kongsi gelap Nigeria mahu memotong lengannya untuk dimakan bagi mendapatkan kuasa makhluk asing. Wikus diperlakukan seperti tikus makmal dan akhirnya berjaya melarikan diri. Wikus kemudiannya bekerjasama dengan Christopher untuk mendapatkan semula cecair tersebut yang telah dirampas oleh pihak berkuasa. Di sinilah bermulanya pelbagai tarikan emosi, tentang pengkhianatan, kepercayaan, kesetiaan, pengorbanan, sifat mementingkan diri sendiri dan ketamakan. Tak sangka menonton filem makhluk asing boleh merasakan unsur-unsur kemanusiaan yang amat mendalam. Adegan paling menyentuh hati adalah apabila Christopher bersungguh-sungguh berjanji kepada Wikus akan kembali menyelamatkannya dalam tempoh tiga tahun lagi.

"Three years, I promise..." Mungkin dalam tiga tahun lagi akan keluar sekuel filem District 10? Pelbagai elemen dalam cerita yang tidak diterangkan sepenuhnya tapi ini menambahkan lagi daya tarikan pada jalan cerita. Misalnya, siapakah sebenarnya mayat makhluk asing yang ditemui oleh Christopher dalam makmal? Besar kemungkinan adalah isterinya. Begitu juga dengan sejauhmanakah kepercayaan isteri Wikus kepadanya? Malahan penamat cerita tanpa mengetahui nasib Wikus setelah tempoh tiga tahun juga menambahkan rasa ingin tahu. Ternyata, menonton filem District 9 bagaikan menonton filem mengenai makhluk asing buat pertama kalinya. Suatu pengalaman mengenali makhluk asing yang tidak akan dilupakan!

p/s: Tunjukkan sokongan anda kepada makhluk asing dengan memasuki blog ini: http://www.mnuspreadslies.com/

No comments:

Post a Comment