Read: Pendeta Gua Khayalan (Bahagian I)


Kaizar masih lagi dalam pembacaan novel pertama daripada trilogi Kembara Lang Surya bertajuk "Pendeta Gua Khayalan" yang dibeli di MPH beberapa hari yang lepas. Apa yang menarik perhatian Kaizar untuk membeli buku tersebut adalah kerana ianya karya yang berunsurkan heroisme Melayu ditambah lagi dengan "Mentera Pelaris" dari Ahmad Patria Abdullah yang dahulunya popular dengan Saga Artakusiad. Ingin sekali membeli Saga Artakusiad namun entah di mana boleh beroleh siri penuhnya.

Setakat pembacaan Kaizar sehingga bab ke-8, Lang Surya telah bertemu Cempaka Suri dalam dunia mimpi realiti dan kemudiannya berguru dengan Pendeta Musang Tunggal serta memperoleh Sang Geroda dan Lok Bisa. Turut diperkenalkan watak Rimau Seru yang telah membunuh gurunya sendiri. Di hujung bab 8, Lang Surya telah dihalau oleh ibunya sendiri yang tidak mengenali dirinya yang telah dewasa hanya dalam masa sepuluh hari yang menyamai sepuluh tahun dalam tempoh perguruannya dengan Pendeta Musang Tunggal.

Pendeta Gua Khayalan boleh sahaja disasarkan kepada golongan umum untuk dibaca jika bukan kerana bahasa yang digunakan menjarakkan pembaca dengan karya tersebut dan mengecilkan populasi yang membacanya. Bahasa yang digunakan bercampur baur antara bahasa moden dan bahasa Melayu klasik serta tidak keberatan jika dikatakan amat melewah-lewah. Walaupun ini boleh menjadi batu penghalang untuk menyelesaikan pembacaan, namun jalan cerita yang mantap tetap menarik Kaizar untuk terus membaca. Cuma kadang-kala di tengah-tengah adegan yang penting, penulis "masuk campur" untuk menerangkan sesuatu perkara. Mungkin ini adalah gaya penulisan yang tersendiri tetapi dirasakan jika tidak ada, akan dapat menambahkan unjuran emosi ketika membaca.

Kaizar tertarik dengan ketelitian penulis dalam mencirikan sesuatu perkara yang berunsurkan Melayu. Jika lebih diperincikan Pustaka Negeri akan dapat menambah perisa dalam penceritaan. Mungkin jika digantikan perkataan "buku" dengan "kitab" atau "naskhah" atau "kalam" atau mana-mana perkataan yang dirasa lebih sesuai serta diperhalusi penerangan tentang jenis buku yang boleh diperoleh dalam Pustaka Negeri akan menambahkan keaslian karya.

Terdapat beberapa adegan yang dirasakan hilang. Paling ketara adalah perjalanan di antara Lang Surya berpisah dengan Pendeta Musang Tunggal dan kemudiannya bertemu semula dengan ibunya.

...Pendeta Musang Tunggal dan Gunung serentak membalas dengan gelengan kepala.


Benar, namun Lang Surya masih bertemankan sangsi hinggalah dia tiba di hadapan laman rumahnya...


Di mana hilangnya magis Pendeta Musang Tunggal yang membolehkan Lang Surya keluar dari kawasan hutan belantara di bawah lindungannya? Ada juga beberapa unsur yang boleh mengelirukan pembaca tentang keaslian dunia Melayu yang cuba dipaparkan oleh penulis. Bagaimana boleh salji turun di Indera Kawi? Unsur salji tersebut agak asing bagi dunia Melayu dan mungkin sahaja jika digantikan dengan gurun atau padang pasir lebih sesuai dengan "setting" yang berunsurkan keMelayuan. Perkataan"magis" yang digunakan untuk menerangkan kuasa yang dimiliki oleh Pendeta Musang Tunggal juga mungkin sahaja boleh digantikan dengan perkataan yang lebih Melayu misalnya "hikmat". Satu lagi, mengapa digunakan perkataan "Khayalan" semata-mata kerana perkataan  tersebut dilihat boleh melemahkan kekuatan karya...

Kekuatan buku "Pendeta Gua Musang" ini adalah pada jalan ceritanya yang menarik dan ini membuatkan Kaizar untuk meneruskan pembacaan. Kaizar akan menyambung kembali review ini setelah selesai mebaca kesemua 19 bab "Pendeta Gua Khayalan".

Untuk memperoleh maklumat terus dari penulis "Pendeta Gua Khayalan", lawati blog beliau di http://inderawangsa.blogspot.com

9 comments:

  1. salam utk kaizar,
    terima kasih kerana sudi memberikan ulasan awal 8 bab pertama, juga komen-komen yang menarik.

    ada sebab kenapa saya memilih gaya bahasa sebegitu bagi karya ini. saya berpendapat bahasa kita adalah indah, dan saya lihat bangsa kita semakin menjauhi keindahannya dalam juadah-juadah novel di pasaran. jadi, penggayaan sebegitu adalah bagi memupuk dan mendidik anak bangsa agar merasai nikmat keindahan bahasa kita.

    benar, bagi karya KLS ini, yang bercerita adalah 'buku' itu sendiri, bukan saya (walaupun saya adalah penulis). interaksi adalah antara 'buku' dan pembaca, bukan antara penulis dan pembaca. jadi ada waktu-waktu tertentu, 'buku' terpaksa menghentikan sebentar ceritanya bagi menerangkan sesuatu yang tiada di alam nyata, ataupun memberi sepotong nasihat dan peringatan kepada pembaca.

    berkenaan pustaka negeri, itu diakui kelemahan yang terlepas pandang. saya setuju sepatutnya digunakan perkataan naskah atau kitab. insya'Allah akan diperbaiki pada masa hadapan. terima kasih kerana mengingatkan.

    mentor saya, ahmad patria selalu berpesan, sesetengah cerita elok didiamkan. biarkan pembaca membuat andaian sendiri mengapa dan bagaimana ianya berlaku. jadi, tentang bahagian yang hilang itu, saya serahkan kepada imaginasi pembaca agar turut berfantasi bagi menjawab persoalan yang timbul.

    salji di alam melayu? mengapa tidak? indera wangsa adalah dunia fantasi. saya yakin, ramai antara kita yang berangan inginkan malaysia mengalami iklim 4 musim. jadi, keinginan itu saya jelmakan dalam dunia fantasi indera wangsa. perkara ini sebenarnya adalah cabaran buat saya bagi menggambarkan alam melayu yang mengalami iklim 4 musim. bagaimana agaknya rupa baju melayu di musim sejuk?

    terima kasih sekali lagi kerana sudi mecoretkan sesuatu tentang 'Sang Pendeta'. teruskan membaca dan semoga ada lagi komen-komen juga kemusykilan yang akan dikongsi di sini. bagi yang belum membaca karya ini, saya sarankan membuka fikiran seluas-luasnya, kerana fantasi itu tidak bersempadan.

    ReplyDelete
  2. wow..br best..direct interaction with penulis...teruskan usaha..hehe

    ReplyDelete
  3. Salam kembali buat saudara Jundak,

    Saya bersetuju bahawa keindahan bahasa sewajarnya dikongsi bersama pembaca. Dalam menyemai benih cintakan bahasa, pendekatan penting untuk memastikan mereka tidak merasa tertinggal ketika membaca sesebuah karya. Alangkah gembiranya jika karya sehebat Pendeta Gua Khayalan boleh dikongsi dengan kelompok pembaca yang lebih meluas.

    Keterpaksaan sang pencerita dalam memberi "narration"nya yang tersendiri kadang-kadang menggangu "mood" dalam bacaan. Mungkin sekali jika hikmah peringatan beliau dititip pada akhir sesebuah adegan akan menampakkan kematangan sang pencerita dalam memastikan audien yang "mendengar" ceritanya lebih mendalami gerak emosi sepanjang cerita. Perincian juga boleh sahaja diletakkan dari kaca mata karakter-karakter itu sendiri, bukannya dari sudut orang ketiga. Tetapi seperti yang saya perkatakan sebelumnya, gaya penulisan tersendiri memberikan personaliti karya yang lebih bersifat peribadi.

    Saya masih belum menamatkan bacaan dan baharu sahaja tiba di kota Indera Sura. Teringin juga melawat Pustaka Negeri dan melihat sendiri kemegahannya. Jika sempat saya menjejakkan kaki ke Indera Kawi, akan saya khabarkan keadaan di sana. Rumusan yang saya buat setakat ini adalah dari pembacaan yang belum selesai makanya masih ada unsur-unsur yang belum terang bagi saya.

    Jujur saya katakan, sesebuah karya yang hebat sewajarnya diberikan ulasan yang mapan agar dapat memartabatkan karya tersebut sepertimana yang dilakukan ke atas karya-karya luar negara. Apa sahaja bentuk komentar, sama ada negatif atau positif pastinya menjadi daya penarik. Saya percaya ruangan ini sahaja boleh menarik minat mereka yang masih belum mendapatkan Pendeta Gua Khayalan untuk membacanya. ;) Fantasi tanpa sempadan, tetap berpasak realiti.

    ReplyDelete
  4. personally,i rasa tetap tak cantik kalau kita campur adukkan bahasa klasik dengan bahasa moden. memang tak dinafikan yang bahasa kita ni kaya...tapi kan ke cantik kalau kita dapat tonjolkan keaslian bahasa itu sendiri?

    dia jadi macam Hang Tuah pakai topi batman la. pelik.

    ReplyDelete
  5. terima kasih kaizar. insya'Allah akan diperbaiki mana-mana kelemahan untuk siri kedua nanti.

    jon, saya tak reti menulis bahasa klasik. :p

    novel ini ditulis sepenuhnya dalam bahasa melayu moden. tiada perkataan hatta, arakian, sebermula dan sebagainya. cuma pengolahan gaya yang menyebabkan ianya mirip kepada klasik.

    ReplyDelete
  6. ...masih belum mengusaikan bacaan kerana diasak dengan jadual waktu yang tidak mengizinkan. namun setakat ini memang plot cerita yang punya unsur-unsur mendebarkan yang mengikat jiwa menyusur jejak kembara lang surya...

    ReplyDelete
  7. Hmmm.. nampaknya Kaizar perlu mengorek fantasi Pahlawan Adamus pula selepas ini...

    komen anda amat saya nantikan...

    ReplyDelete
  8. Terima kasih Silzack Khairol kerana sudi singgah di blog hamba... saya baru sahaja singgah di blog saudara dan juga membaca sedikit sebanyak tentang Pahlawan Adamus. Kulit bukunya pun boleh lawan, setanding kulit buku Pendeta Gua Khayalan. Pasti akan membeli, membaca dan mengulasnya! :)

    ReplyDelete