Travel: Bali

Mula-mulanya plan ke Bali seramai 6 orang, tapi awal-awal lagi Abang Boy mengesahkan ketidakhadiran kerana Abang Farhan pun tidak dapat mengikuti sebab tak balik Malaysia. Last-last minute, Abang Ijal dan Abang Zul pun tak dapat join. Akhirnya, cuma kami berdua, saya dan Zack yang ke Bali. Kami bertolak dari Bandar Tasik Selatan seawal pukul 8 pagi ke LCCT menaiki kereta ditemani Edy. Terbang pukul 10.30 pagi dan tiba pukul 1.30 petang. Tidak ada perubahan dari segi masa antara Malaysia dan Bali. Setiba di Ngurah Rai Airport, kami ambil taksi ke Tune Hotel Kuta, cuma RP50K (lebih kurang RM20). Kemudian check-in untuk lima malam, cuma lebih kurang RM450. Hotelnya pun masih baru lagi, dua bulan beroperasi. Walaupun agak kecil tapi memuaskan untuk sebuah budget hotel. Kami mendapat bilik bernombor 326 yang mempunyai pemandangan menarik berbanding bilik-bilik lain. Cuma agak panas walaupun kipas dipasang semaksima mungkin. Makan malam di KFC untuk dua orang pun cuma RP22K (RM8). Boleh dikatakan untuk lima hari berikutnya, KFC adalah makanan ruji kami. Then, jalan2 sekitar Pantai Kuta berhampiran Hard Rock Cafe.
(Tune Hotel Kuta)
Hari kedua, kami berjalan-jalan ke Denpasar ibukota Bali menaiki taksi sendiri. Ke Muzium Bali yang dahulunya bekas istana raja. Bolehlah menambah ilmu pengetahuan tentang asal-usul dan sejarah Bali. Kami menempah tour untuk keesokan harinya. Ketika melewati Hard Rock Cafe, kami bertembung dengan kawan-kawan Zack, dan malamnya kami berjoli beramai-ramai di Seminyak!
(Muzium Bali)
(Patung Dewa Ruci)
(Barong & Kris Dance)
Esok hari, kami bangun seawal pukul 8 pagi untuk perjalanan menuju ke Kintamani. Perjalanan dimulai dengan menyaksikan Barong, tari drama tentang pertembungan antara kuasa jahat Rangda dan kuasa baik Barong di Denpasar Selatan, Disyorkan lebih baik menonton di Batubulan atau di Ubud. Sepanjang perjalanan kami singgah di Mas (tempat pembuatan emas), Celuk (tempat pembuatan lukisan) dan Batuan (tempat pembuatan barangan kayu), Goa Gajah, Tegalalang menyaksikan pemandangan sawah berteres (disyorkan ke Jatiluwih kerana sawah padi berteres di sana lebih menarik) dan akhirnya sampai ke Kintamani untuk menyaksikan Gunung Berapi Batur dan Danau Batur sambil menikmati makan tengahari. Bagaimanapun disebabkan cuaca hujan, hanya sebahagian dari gunung tersebut yang boleh dilihat. Untuk sesiapa yang akan ke Bali, tidak disyorkan untuk ke Kintamani. Lebih baik terus ke Besakih, pura terbesar dan paling penting di Bali serta berlatarbelakangkan gunung tertinggi di Bali iaitu Gunung Agung.
(Goa Gajah)
(Tegalalang - Rice Paddy Terrace)
(Kintamani - Gunung Batur)
Dalam perjalanan pulang pula kami sempat singgah sebentar ke ladang kopi Bali, Gunung Kawi dan Pura Diraja Taman Ayun yang terletak di Desa Mengwi. Destinasi terakhir kami ialah Tanah Lot untuk menyaksikan pemandangan matahari terbenam sambil dihiburkan dengan tarian Kecak. Saya sempat melibatkan diri dalam tarian tersebut yang mengisahkan tentang perlawanan antara Ramayana dan Rangda untuk mendapatkan Sita. Disyorkan untuk membeli souvenir di Tanah Lot kerana lebih murah daripada tempat lain, kemungkinan tempat pembuatan kraftangan itu sendiri. Sempat ke Kampung Bali untuk shopping souvenir sampai habis cash di tangan! Tour kali ni berharga RP200K seorang, termasuk guide, kereta dan minyak tapi tidak termasuk entrance fees. Guide kami bernama Henry. Sampai habis memory card space untuk Sony Cybershot semata-mata penggambaran hari ni.
(Gunung Kawi)
(Taman Ayun, Desa Mengwi)

(Pura Tanah Lot)
(Kecak & Fire dance)
Hari keempat kami berehat-rehat di hotel sambil membaca buku. Malamnya kami singgah sebentar di Bali Bombing Memorial di Ground Zero kawasan Legian.
(Bali Bombing Memorial)
Untuk hari kelima, kami melakukan water sports di Nusa Dua di bawah kelolaan kompeni Mawar Kuning di Tanjung Benoa, setiap seorang RP250K. Kami turut menempah seorang jurugambar untuk mengambil gambar-gambar sepanjang aktiviti, RP350K. Mulanya kami melakukan aktiviti snorkelling, airnya kurang jernih dan batu karangnya pun tidak sehebat di Nusa Pelidan, tetapi ikan-ikannya cantik-cantik. Sangat menenangkan dapat berenang di lautan dan teringat pengalaman pertama snorkelling di Pulau Redang. Setelah snorkelling, kami dibawa ke Turtle Island. Ingatkan memang tempat semulajadi penyu bertelur tetapi rupanya hanya sebuah zoo mini bernama Moon Cot Sari turtle Farm. Bagaimanapun, di sini kami boleh memegang dan bergambar dengan kesemua binatang di sini. Sempat juga minum air kelapa muda sementara menunggu bot sampai. Aktiviti terakhir adalah parasailing. Sangat seronok untuk pertama kali parasailing, dapat melihat hampir keseluruhan pulau Bali dari udara walaupun hanya sebentar. Aktiviti-aktiviti air yang dimulai pukul 10 pagi ini berakhir lebih kurang pukul 2 petang dan kami kembali ke hotel.
(snorkelling)
(Moon Cot Sari Turtle Farm)

(Parasailing)
Sejam kemudian kami menyewa sebuah motosikal dari Ceria Transport Agency, cuma RP50K untuk tempoh 24 jam. Mengisi minyak penuh pula cuma RP13K yakni lebih kurang RM5 sahaja. Kami menunggang motosikal sampailah ke Garuda Wisnu Kencana (GWK) Bali Cultural Park dalam perjalanan ke Uluwatu. Kami dapat bergambar dengan patung terbesar di Bali dan menonton tarian Kecak & Demen Dance oleh orang-orang kurang upaya di amphitheatre. Dari GWK, hampir keseluruhan pulau Bali boleh dilihat, dari lapangan terbang Ngurah Rai sampailah ke Pulau Menjangan. Sebelum pulang kami sempat singgah ke Pura Luhur Uluwatu tetapi cuma mengambil gambar di bahagian luar pura kerana hari sudah gelap dan untuk masuk ke pura di waktu malam sangat menakutkan. Lagipun di pura ini ada banyak monyet-monyet yang suka mengacau. Kami terus pulang ke hotel yang jauhnya lebih kurang 30km dari situ.
(GWK - Garuda Wisnu Kencana Bali Cultural Park)
Hari terakhir di bumi Bali, kami menaiki motor untuk mengambil gambar dengan monumen-monumen menarik sekitar Kuta. Kami juga berkesempatan memotong rambut dan spa di Johnny Andrean saloon, sebuah salon terkemuka di Indonesia. Kemudiannya kami kembali semula ke Kampung Bali untuk menambah souvenir. Boleh dikatakan perbelanjaan untuk souvenir sahaja sudah separuh dari keseluruhan perbelanjaan perjalanan kami ke Bali. Pukul 4 petang, kami mengambil taksi ke lapangan terbang, cuma RP36K. Di lapangan terbang, kami dikenakan cukai RP150K seorang sebelum masuk ke Balai Berlepas. Sempat juga berjumpa dengan tiga orang rakan, salah seorangnya dikenali dari Astro, Ikki, Azra dan Fiza. Rupa-rupanya salah seorang dari mereka bertiga yang ditemui, Fiza sepatutnya satu rombongan dengan kami pada asalnya menjadikan jumlah yang sepatutnya pergi adalah tujuh orang. What a small world. Kami bertolak dari bumi Bali dengan berat hati pada pukul 7.30 malam dan tiba di LCCT pada pukul 10.30 malam. Bye-bye Bali tercinta!

(Patung Ngurah Rai)
(Patung Satria Gatotkaca berdekatan Lapangan Terbang Ngurah Rai)

(Discovery Shopping Mall di tepi pantai Kuta sesudah memotong rambut!)
Secara totalnya, ke Bali cuma perlu membawa kurang daripada seribu ringgit seorang. Jika ke Bali lagi, kemungkinan besar kami tidak akan menggunakan khidmat tour lagi, tetapi menyewa sebuah kereta bersama pemandu pelancong, lebih kurang 500K sebuah kereta yang boleh memuatkan hingga 7-8 orang, dan boleh membawa ke mana-mana sahaja tanpa terikat dengan jadual tour. Pemandu pelancong masih penting kerana jalan-jalan di Bali agak berbelit-belit dan mengelirukan. Kami juga tidak akan ke Kintamani dan tempat-tempat pembuatan barangan tempatan lagi, sebaliknya akan menyinggah ke pura-pura yang bersejarah kerana banyak gambar-gambar menarik boleh diambil. Mungkin juga akan ke Kampung Trunyan yang menempatkan kaum asli di Bali dipanggil Bali Aga, mereka yang mati tidak dibakar atau dikuburkan, sebaliknya diletakkan sahaja di atas tanah di tepi pohon Trunyan (pokok harum). Selain itu, kami akan melakukan aktiviti-aktiviti air yang lebih lasak di lokasi yang lebih cantik kerana di Bali kerana caj yang dikenakan lebih murah berbanding Malaysia. Dan pastinya tidak ketinggalan, persembahan-persembahan asli tiga tarian utama di Bali, Barong, Kecak dan Legong yang lebih menarik dan meriah. Akhir sekali, jika punya wang lebih, kami mahu terus ke Yogyakarta dari Bali menyaksikan Borobudur, salah satu khazanah dunia! Lebih murah dan mudah dari Bali ke sana. We will be back Bali!

Other blog on Bali:
http://www.cynthiafoo.com/category/travel-blog/bali/
http://adammale.blogspot.com/2010/02/travel-bali.html

4 comments:

  1. Wah... Bestnya! Aku pun turut seperti melancong selepas membaca post ni... BTW, thanx for the ole-ole...:-D

    ReplyDelete
  2. best nye dapat holiday kt sana..blom ade pluang lagi..haish

    ReplyDelete
  3. good experience n exposure ~~!!! thanks kamooo...

    ReplyDelete
  4. i kasi full mark on ur dewa ruci picture... very nice!

    ReplyDelete