Read: Aria Penyelamat Hablus (Bahagian 2)

Akhirnya Kaizar selesai membaca "Aria Penyelamat Hablus". Buku ni memang amat mudah untuk dicerna, macam makanan pula bunyinya tetapi itulah kenyataan. Setelah menyambung kembali separuh pembacaan, Aria dan rakan-rakannya telah tiba di sebuah kampung yang didiami Nyak Long, penjaga arwah Laila, kekasih Sakaran. Kampung tersebut diketuai oleh Hubhorai Dartus. Mereka kemudiannya membantu kampung tersebut dalam pertempuran dengan tentera Panglima Russah. Dalam pertempuran tersebut, tentera Panglima Russah tiba-tiba melarikan diri, rupa-rupanya tertipu dengan sihir Haina. Puteri Andalia yang mengekori Panglima Russah dengan tujuan untuk membunuhnya bagaimanapun tertangkap. Aria, Sakaran dan Shii-An pergi menyelamatkan. Sakaran yang menyamar sebagai salah seorang pengawal di kota Panglima Russah bagaimanapun ketahuan dan ditangkap. Panglima Russah berjaya mendapatkan Bunga Kelkatus yang dibawa oleh Puteri Andalia. Haina kemudiannya berjumpa dengan Panglima Russah. Panglima Russah diperdaya meninggalkan kotanya oleh seekor jin peliharaan Haina. Haina mencuri Bunga Kelkatus dan menyerahkannya kepada Maharaja Noamis serta dianugerahkan Kalung Silbiru. 

Puteri Andalia dan Sakaran diselamatkan oleh Pahlawan Bertopeng Hitam. Panglima Russah sekali lagi ditipu dengan Bunga Kelkatus palsu dalam simpanannya yang ditukar oleh Haina. Dalam perjalanan menemui Noamis, Panglima Russah diserang hendap oleh Aria dan rakan-rakan. Dia bagaimanapun mati dibunuh sihir Haina. Haina yang cuba membunuh Aria dan rakan-rakan bagaimanapun dihalang Pahlawan Bertopeng Hitam yang rupa-rupanya merupakan Argus, Pahlawan Zia/Roh dari bangsa Burga, bekas orang kanan Haina sendiri. Haina kemudiannya mati dimakan oleh kuasa sendiri. Aria berjaya mendapatkan kembali Kalung Silbiru. Di hujung cerita, Sakaran dan Puteri Andalia pergi menemui Hubhorai Dartus manakala Aria dan Shii-An kembali ke kerajaan Hablus. Bagaimanapun, kota batu Hablus telah dimusnahkan, kemungkinan oleh Noamis.

Setakat itu sahajalah cerita buku "Aria Penyelamat Hablus". Di penghujung buku tersebut, babak-babak berlaku dengan begitu pantas, kematian Panglima Russah dan Haina serta pendedahan Pahlawan Bertopeng Hitam boleh dikatakan berlaku dalam satu ruang waktu yang singkat, seperti cerita tidak sabar-sabar untuk dihabiskan begitu sahaja. Satu perkara lagi adalah mengenai peranan Aria yang dikatakan sebagai penyelamat Hablus kurang bertepatan kerana dalam kebanyakan plot utama seperti pembunuhan Panglima Russah, Haina dan pertempuran dengan tentera Panglima Russah bukan dilakukan oleh Aria. Malahan Aria selalu terjebak dalam pelbagai permasalahan yang kemudiannya diselesaikan oleh bantuan luar terutamanya Pahlawan Bertopeng Hitam. Sewajarnya watak utama perlu diberikan ciri-ciri kepahlawanan yang bersesuaian. Ada beberapa watak yang sekadar disebut nama dan belum muncul misalnya lelaki dan perempuan tua yang tinggal di dalam pondok yang memberikan nasihat kepada Puteri Andalia dan Sakaran serta Jin Qarin. Noamis juga belum bertembung dengan Aria. Sememangnya buku ini memerlukan kesinambungan, jika bukan trilogi, sekurang-kurangnya buku kedua untuk memberikan penutup yang sesuai kepada cerita. 

No comments:

Post a Comment