Read: Aria Penyelamat Hablus (Bahagian 1)

Kaizar sekarang sedang membaca buku "Aria Penyelamat Hablus" oleh MK Riza terbitan Creative. Judulnya dipanjangkan mungkin kerana terlalu umum jika sekadar menggunakan perkataan "Aria". Plot utama memang sama seperti buku Saga Artakusiad oleh Ahmad Patria Abdullah terbitan DBP, Pahlawan Adamus terbitan PTS dan Kota Barra terbitan Fajar Pakeer. Keempat-empat buku ini menceritakan seorang manusia yang masuk ke alam lain dan dianggap sebagai penyelamat. Selain itu, ianya ada persamaan dengan filem Neverending Story. Ahmad Patria pula mengambil ilham daripada buku Lord of the Rings oleh JRR Tolkien. Bezanya buku ini diselitkan dengan gambar-gambar yang membantu pembacaan, jika tidak pun sedikit-sebanyak. Kulit bukunya kurang memuaskan kerana berwarna kusam, font yang digunakan tidak menarik kecuali nama Aria yang sedikit berbeza dan lukisan juga tidak menggambarkan keseluruhan cerita yang hendak disampaikan. Tetapi kerana harga di pesta buku yang murah, ketebalan yang boleh tahan iaitu 300 muka surat dan kerana Kaizar sememangnya meminati cerita berunsurkan heroisme dan fantasi, maka disambar juga satu.

Watak-watak dalam buku Aria ini ada pengaruh daripada role-playing games (RPG) terutamanya Diablo. Ada watak hero Aria yang bersenjatakan Pedang Keramat Sakti (warrior & short-ranged weapon), watak kerdil Shii-An yang mahir berubat (halfking/dwarf & healer), watak puteri Andalia yang bersenjatakan kayu sakti (amazon), watak bunian Sakaran yang bersenjatakan busur beranak panah satu (elf & long-ranged weapon), watak ahli sihir wanita Haina waris kerajaan Burga yang boleh bertukar rupa (sorceress & shape shifter), watak panglima Russah yang jahat (barbarian?) dan watak maharaja jahat Noamis bermata tiga yang berasal dari masa depan. Ketua kampung dipanggil Hubhorai. Penamaan watak agak sedikit lucu tetapi masih boleh diterima. Bahasa yang digunakan sangat mudah dan tidak berbasa-basi. Cuma kadangkala ada sesetengah ayat yang berbelit-belit namun masih boleh dilangkau.

Jalan cerita juga sangat mudah dan cepat, diceritakan dari sudut pandangan beberapa watak. Ia bermula dengan seorang remaja bernama Aria yang diberikan sebuah buku oleh temannya Saila. Aria kemudiannya dibawa ke alam Hablus yang didiami oleh orang-orang kerdil berjanggut panjang serba putih dipimpin oleh Hummaras. Aria dikatakan sebagai penyelamat bangsa Hablus yang menentang Maharaja Noamis yang mengetuai bangsa Burga. Dia perlu mendapatkan bunga Kelkatus di Gunung Kabus untuk mengalahkan maharaja yang jahat itu sekaligus mendapatkan kembali Kalung Silbiru khazanah bangsa Hablus. Dalam perjalanan dia bertemu Shii-An, Puteri Andalia dan Sakaran. 

Setiap daripada watak diberikan latarbelakang. Shii-An dihalau bangsa Hablus kerana tidak mempercayai kepercayaan bahawa akan muncul penyelamat bangsa Hablus. Puteri Andalia yang sebelum itu dipenjarakan di  Penjara Jua oleh Haina yang menyamar sebagai ayahandanya Maharaja Ariagus yang dibunuh Panglima Russah menyelamatkan diri dengan bantuan bentara menteri dan mendapatkan bantuan Nenda Hektiar. Sakaran pula dihalau bangsa Bunian kerana bercinta dengan manusia bernama Laila yang telah meninggal dunia. Panglima Russah dan Haina pula masing-masing menyimpan hasrat untuk merampas kerajaan Burga.

Setakat itu sahajalah pembacaan Kaizar setakat ini. Kupasan akan disambung setelah selesai membaca. Kalau mengikut blog penulis, katanya ingin menulis trilogi buku ini. Sama-sama kita mendoakan beliau mendapat kekuatan untuk menulis semula buku ini. Ianya ada potensi ditambah lagi dengan ilmu penulisan yang semestinya kian berkembang semenjak pertama kali menulis buku ini.

No comments:

Post a Comment