Read: Hlovate's Books

Seperti sedia maklum, Kaizar dah beli semua buku koleksi hasil karya penulis yang menggunakan nama pena Hlovate terbitan Jemari Seni, kecuali kompilasi Gurindam Jiwa yang memuatkan cerita "Schubert's Serenade".  Karya Hlovate yang pertama Kaizar lihat adalah "Rooftop Rant" di sebuah kedai buku di The Mines. Kerana berbalut, Kaizar tidak dapat membaca-baca isi kandungannya, Kaizar sangkakan karya terjemahan dari penulis Jerman! Setelah membuat beberapa rujukan di Internet barulah Kaizar mengetahui tentang penulis Hlovate ni lalu terdetik hati untuk membaca dan mengkajinya.

Kaizar telah mengatur bacaan novel-novel Hlovate mengikut waktu Hlovate mula menulis setiap satu karyanya, dimulai dengan novel [tunas] yang memuatkan tiga hasil terawal beliau yakni dua daripada trilogi GT_i, "GreaTroublemaker_i", "GreaTroublemaker_[i'm a senior]" dan "Magnificient7[thelegend]" (bukan trilogi GT_i). Kemudiannya akan diikuti dengan novel "aA+bB", iaitu kesinambungan trilogi GT_i, "GT_[i'm outta teens]". Seterusnya adalah "versus", "5Tahun5Bulan", "Ked's Story" dalam kompilasi "Pelangi", "Schubert's Serenade" dalam kompilasi "Gurindam Jiwa" (nanti cek MPH) dan "Rooftop Rant".
(susunan bacaan buku-buku Hlovate)
Kaizar merasakan inilah cara paling sesuai untuk mencungkil dan menyelusuri proses pengembangan penulisan seorang penulis, dari segi idea, kreativiti dan kematangan. Karya Hlovate yang belum diterbitkan lagi adalah "Creep~Street Symphony", "Anthem" (rasanya belum habis) serta yang paling terbaru, "Biru" (baru tiga bab). Kesemua novel ini bermula daripada posting blog Hlovate yang kini beralamat di http://hlovaterror.blogdrive.com, dimulai dengan lima blog beliau terdahulu sejak tahun 2005 hingga sekarang.
(turutan terbitan buku-buku Hlovate oleh Jemari Seni)
[tunas] adalah buku Hlovate pertama yang cuba diselami oleh Kaizar. Judulnya diberi sedemikian rupa kerana ketiga-tiga bahagian ini merujuk kepada kehidupan pelajar-pelajar di Kolej Tunas. Bahagian pertama, GreaTroublemaker_i mengisahkan heroin bernama Addin yang mempunyai kembar bernama Kucai yang pada mulanya menyembunyikan identiti mereka di sekolah baru mereka. Kemudiannya mereka masing-masing menjadi Head Boy dan Head Girl yang berhasrat untuk membudayakan Islamik di kolej mereka. Selain itu turut diperkenalkan rakan-rakan mereka dan musuh utama Addin yang bernama Eve. Bahagian pertama ini lebih kepada memperkenalkan watak-watak di dalam GT_i tanpa arah tuju plot yang jelas.

Pening juga pada mulanya hendak membiasakan diri dengan buku-buku yang menceritakan kehidupan remaja bersekolah dan bahasa yang bercampur-aduk cacamerba. Kebiasaannya Kaizar membaca buku-buku bercorakkan fiksyen fantasi, bukan romantik, dan juga menggunakan bahasa Melayu Tinggi terutamanya terbitan PTS. Lagipun buku ini asalnya adalah blog postings yang bersambung-sambung dan tiada kesinambungan di antara bab ke bab. Setiap bab adalah peristiwa-peristiwa rawak yang dialami oleh Addin sepanjang semester satu di kolejnya.

Walau bagaimanapun, Kaizar dapat mengaitkan diri dengan kebanyakan peristiwa yang berlaku dalam bahagian satu selain dapat membayangkan peristiwa-peristiwa tersebut, mungkin kerana Kaizar bekas pelajar sekolah berasrama. Antara trademark Hlovate yang mencuit hati saya adalah penggunaan frasa "angkat kening double-jerk". Mungkin emotikonnya seperti ini (o_?) Selain itu terdapat banyak rujukan lagu-lagu dan buku-buku Barat di dalam karya Hlovate serta pelbagai sukatan pelajaran SPM turut terselit-selit di antara bab. Dan setelah diamati gaya penulisan Hlovate, ada beberapa babak yang sengaja dilangkau beberapa bab untuk memberikan unsur suspen, yang kemudiannya dijelaskan di dalam bab yang lain. Misalnya perihal Addin yang meminta bantuan daripada kumpulan Mags 7 sewaktu berjumpa di gelanggang bola keranjang, yang hanya diketahui hal sebenar setelah masuk bab yang menceritakan tentang Malam Bersama Selamanya. Masuk ke bahagian 2, GreaTroublemaker_[i'm a senior], barulah Kaizar dapat nampak dengan jelas plot dan naratif penceritaan yang lebih terarah. Masih lagi bercerita tentang Addin, tapi ditambah dengan kemunculan watak love interestnya, Benz dan MoU bersama kumpulan Magnificient 7 yang menambahkan perisa dalam cerita.

Kaizar tidak menyambung terus membaca bahagian ketiga, Magnificient 7 (the legend) sebaliknya membaca novel aA+bB yang merupakan kesinambungan kepada bahagian pertama dan kedua novel [tunas] berkenaan heroin Addin dan hero Benz yang berlaku setelah tujuh tahun terpisah. Secara jujurnya, membaca aA+bB amat memenatkan, tidak banyak peristiwa sebenarnya yang berlaku dalam aA+bB melainkan proses "tarik tali" antara kedua-dua watak tersebut. Daripada tidak suka kepada suka, kemudiannya keguguran anak dan akhirnya menimang cahaya mata, itu sahaja plot utama yang ditawarkan dalam buku aA+bB, semudah judulnya juga. Perbezaan ketara amat jelas dalam corak penulisan di awal buku dan di penghujung buku. Jika di awal buku masih ada gaya bahasa dari buku [tunas] karya terawal Hlovate, di hujung-hujung buku pula perenggan menjadi semakin panjang, seolah-olah membaca buku motivasi, bukan lagi novel. Ayat-ayat dan pemilihan kata bagaimanapun tidak jauh berbeza.

No comments:

Post a Comment