Read: Yuda di Padang Maya - Xarine

Dalam tempoh sehari sahaja Kaizar telah berjaya menghabiskan bacaan buku "Yuda di Padang Maya" (YDPM) karya Xarine terbitan Jemari Seni! Ternyata janji sang penulis kepada pembaca tidak mengecewakan, jalan cerita memang pantas, saspen demi saspen memburu pembaca sehingga ke muka surat terakhir, malahan unsur-unsur komedi yang diselit daripada awal sehingga pertengahan buku berjaya memancing minat untuk terus membaca, cumanya di hujung-hujung buku tona cerita menjadi semakin serius dek peperangan yang menghampiri. Penulis ternyata bijak menyimpan kejutan demi kejutan dalam plot-plot yang kemudiannya dirungkaikan secara perlahan-lahan menggunakan teknik imbas semula. Lawak-lawak yang ditulisnya mencuit hati secara bersahaja dan sempoi. Bahasa yang digunakan di awal penceritaan adalah bahasa yang bercampur-aduk tetapi di hujung-hujung buku terdapat usaha dari penulis untuk menampilkan penulisan yang menggunakan bahasa melayu tinggi dan sememangnya mengagumkan.

Pada mulanya Kaizar mendapat tahu tentang kewujudan buku ini daripada laman web penerbit buku, membuatkan Kaizar teruja untuk memiliki dan membacanya kerana kulit bukunya yang dipengaruhi Hallelujah Hanging Mountain dari filem Avatar, juga judulnya yang unik lagi menarik. Awalnya Kaizar menjangkakan buku ini sama seperti buku-buku fiksyen fantasi yang lain dengan kepelbagaian makhluk serta mempunyai rentak cerita yang lebih kurang sama, iaitu watak utama seorang hero yang menyelamatkan dunia, rupanya jangkaan meleset sama sekali setelah membacanya. Buku ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Buku 1: Alam Manusia, Buku 2: Alam Jin dan Buku 3: Kembali ke Alam Manusia. Dua prolog yang membuka lembaran cerita YDPM sebenarnya merupakan permulaan sebuah cerita yang melibatkan alam manusia dan alam jin, tetapi tidak diterangkan terus sebaliknya didedahkan secara berperingkat di bab-bab yang seterusnya.

Dalam bahagian 1 di alam manusia, kejadian demi kejadian menemukan Azmi, Zamsari, Amsyar, Riduan, Ustaz Bunyamin, Pak Karim dan Arissa. Kebanyakan babak berlaku di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang dan daerah Batu Maung. Bab-bab pertama YDPM mirip dengan siri Bercakap dengan Jin karya Tamar Jalis yang suatu ketika dahulu sangat popular, banyak kali babak rasuk-merasuk. Seram-sejuk juga menjalar perasaan lebih-lebih lagi membacanya di waktu malam seorang diri. Namun lawak-lawak bersahaja yang diselang-seli menjadikan perasaan bertukar ganti. Buku ini berjaya memancing pelbagai emosi dalam masa yang sama. Di pertengahan cerita, penulis mula menyelitkan penjelasan yang panjang berjela dengan pelbagai teori dan hukum alam, kadang-kadang berhelai-helai tetapi menarik dan punya logik tersendiri lebih-lebih lagi dari segi metafizik. Dari mana sumbernya, harus ditanya dengan si penulis. Mungkin hasil kajian dari buku-buku ilmiah dicampur dengan daya imaginasi yang tinggi.

Masuk bahagian 2 di alam jin, penulis menghidangkan pelbagai elemen-elemen baru dunia jin yang pastinya mempesonakan dan mengujakan sesiapa yang membaca. Mana tidaknya, dirasakan tidak pernah ada mana-mana penulis sebelum ini menggambarkan dunia jin sepertimana di dalam YDPM. Idea-idea memang di luar alam. Misalnya, siang di alam jin tidak ditentukan dengan kehadiran matahari, tetapi dengan kehadiran jalur emas dan perak. Menurut penulis pula otak ada tiga bahagian. Manusia cuma menggunakan sepertiga otak iaitu bahagian otak pertama, mencipta pelbagai alatan untuk memudahkan urusan. Jin juga menggunakan sepertiga otak, tetapi bahagian yang ketiga, iaitu jin sendiri yang boleh menggunakan dirinya sendiri untuk melakukan sesuatu dengan sains atau sihir. Misalnya manusia mencipta kenderaan untuk memendekkan jarak, jin pula dengan sains atau sihir boleh mengecilkan ruang untuk memendekkan jarak. Malahan puak jin Sughoir juga memainkan pelbagai peranan menggantikan alatan-alatan yang dicipta manusia, sebagai kenderaan, pembancuh simen dan sebagainya. Begitulah antara perkara-perkara baru dan unik yang ditampilkan penulis. Juga ada sedikit unsur The Matrix dengan perkaitan pil biru dan merah. Di dunia jin beberapa watak diperkenalkan, Puteri Silfia, Munsyi', Siluma, Pak Yusuf, Aliana, Zurum dan Alex. Beginilah dunia jin mengikut penceritaan sang penulis:
Dunia jin digelar Hijab Kabir, yakni tidak dilihat oleh pandangan manusia, mana-mana manusia yang masuk pasti sesat tidak berjumpa jalan pulang. Terdapat tiga kaum jin yang utama: pertamanya Alfrit puak jin hitam yang bersayap dan mendiami sama' (langit/bulan) bersifat angkuh, keduanya Alfus puak jin yang hampir menyerupai manusia yang mendiami arod (bumi), dan ketiganya Sughoir berkasta rendah yang boleh berevolusi mengikut keperluan. Satu lagi kaum jin ciptaan Sughoir ialah Oggur, kumpulan jin yang besar gagah merupakan hibrid Sughoir dan Alfrit. 

Puak Alfus yang mendiami arod pula terbahagi mengikut negara. Mohahasak dan orang-orangnya Mohakus, negeri pengedar arak, Mostrisia dan orang-orangnya Mostrisyus, negeri berkecuali, Fina dan orang-orangnya Finus diketuai oleh Sultan Ghulam Mangkar, Solb dan orang-orangnya Solbus telah melarikan diri ke Tranta selepas diserang Naruka dan membuka negeri Solb Baharu diketuai Sultan Sulaiman dan dinasihati ayahandanya Pak Yusuf manakala Tranta dan orang-orangnya Trantus diketuai oleh Sultan Saif. YDPM memfokuskan cerita kepada persengketaan di antara kerajaan Botrus dari puak Alfrit yang diketuai Maharaja Botrus didalangi oleh penasihatnya Munsyi', kerajaan Naruka dari puak Soghuir yang diketuai Siluma dan kerajaan Islam Tranta dari puak Alfus. Konflik dunia jin kemudiannya melibatkan sebuah keluarga manusia.

Tidak diceritakan adalah tentang Sultan Ghulam yang berangkat ke Gunung Qorbuttoh mendapatkan bantuan Jhossan yang dikatakan penderhaka. Juga tentang percintaan Arissa dan Alex. Mungkin ada sambungan? Antara elemen yang paling menjadi perhatian dalam cerita adalah berkenaan pengedaran arak di dunia jin. Terdapat beberapa unsur sindiran secara halus dan sinis yang disisip oleh penulis mengenainya. Di sepanjang penceritaan, turut diselitkan dengan dakwah-dakwah Islamiah. Dek kerana itu, agak menjengkelkan bila mana terdapat dua perkataan "BS" yang terkeluar di tengah-tengah pembacaan, dirasakan tidak sesuai kerana ianya berbentuk carutan dan kata-kata maki. Mungkin hendak menyesuaikan bahasa dengan pembudayaan jin yang dicirikan dalam buku tersebut tetapi tetap dirasakan tidak elok untuk karya-karya berunsurkan Islamik seperti ini.

Untuk menceritakan sinopsis keseluruhan buku ini, pastinya reviu ini akan menjadi terlalu panjang lebar. Untuk mengetahui jalan cerita penuh saspen ini haruslah membacanya sendiri. Selamat membaca!

SPOILER PADAT:  
Munsyi' terlanjur dengan permaisuri Botrus. Permaisuri Botrus membunuh kandungannya, lalu Munsyi' meminta bantuan Siluma untuk menggantikan bayi permaisuri yang telah mati dengan kandungan Mastura. Halim dengan bantuan Siluma pula membunuh suami bekas kekasihnya Mastura dan menawan Mastura di alam jin. Bayi itu kemudiannya dibesarkan Maharaja Botrus dan diberi nama Puteri Silfia. Silfia cuba mencari Alexander al-Mansuri untuk membantunya merungkai permasalahan jiwa (kerana dirinya sebenarnya manusia dalam jasad Alfrit) tetapi tidak ketemu. Dengan bantuan Zurum seorang Alfus keluar hijab, Silfia yang menyamar sebagai Balqis bertemu rakan Alex di alam manusia, Azmi dan meminta bantuannya menyelamatkan Mastura, ibu manusianya. Kisah Amsyar, Riduan dan Zamsari pula mendiami kediaman yang dahulunya milik keluarga Mastura diselidiki oleh Alex. Mereka berjiran dengan Arissa, gadis buta, kekasih Alex dan mempunyai ilmu alam jin. Siluma kemudiannya menculik Azmi dan memasukkan rohnya ke dalam tubuh seekor Oggur dan memperdaya Azmi untuk membunuh dan menjadi senjata utamanya menawan Tranta.

Amsyar, Riduan dan Zamsari kemudiannya masuk ke alam jin dengan cara merasuk jasad jin lain dibantu oleh Aliana, teman jin Arissa. Di alam jin mereka dipertemukan dengan Pak Yusuf. Dengan bantuan Alex, mereka kemudiannya menewaskan Gorgol di Lembangan Maduria yang sebenarnya adalah Halim yang juga merasuk jasad jin di alam jin. Alex berjaya membebaskan Mastura dari alam jin. Dalam pertarungan itu, jasad jin Zamsari dan Riduan mati dan mereka kembali ke alam manusia (Ada adegan cium-mencium yang pasti mengejutkan pembaca) Silfia dengan kuasa manusianya tumbuh sayap lebih awal dari Alfrit biasa dan menyelamatkan Zurum di Penjara Bahuria, kemudiannya membunuh jasad Oggur yang didiami Azmi dengan bantuan Alex yang menutup mata jasad Azmi di alam manusia. Munsyi' terlebih dahulu membunuh Siluma yang membocor rahsia kepada Maharaja Botrus. Setelah mengetahui perkara sebenar tentang Silfia, Maharaja Botrus membunuh Munsyi' dan mengerahkan tentera Alfrit menewaskan tentera Naruka yang diketuai Vilgor anak Siluma seterusnya menyelamatkan Tranta.

4 comments:

  1. thanks anndinn for reading my review on yuda :) i saw the picture of you & the writer himself in your phantasmagoria blog.

    ReplyDelete
  2. thanks starsyeaa. have read ur great review here too: http://thechapterbegin.blogspot.com/2010/03/ini-entri-panjang-dan-seriussila.html

    ReplyDelete