Read: Odisi Tanah Kencana

Secara jujur mulanya Kaizar berasa agak keberatan untuk membeli buku berjudul Odisi Tanah Kencana ini. Ya, bacaan awalnya sekali imbas seperti sangat menarik dan punya aura yang lain daripada yang lain. Cuma kerana harganya RM17 dengan jumlah mukasurat hanya 185 sedikit membantutkan hasrat untuk memilikinya. Namun setelah membaca sehingga ke penghujung buku yang telah dianugerahkan pemenang tempat pertama Hadiah Sastera Kumpulan Utusan kategori novel remaja pada tahun 2006, ternyata buku ini berbaloi dimasukkan ke dalam ribuan katalog buku pustaka kecil Kaizar seterusnya dibaca berkali-kali dan dijadikan rujukan masa hadapan.

Ada beberapa perkara tentang novel tulisan Sri Rahayu Mohd Yusop ini yang pasti menarik minat pembaca. Pertama semestinya judul yang unik yang pasti mengundang tanda tanya untuk mengetahui lebih lanjut intipati ceriteranya. Kedua, kulit buku yang berlatarbelakangkan gambar-gambar lama diberikan kesan sepia tampak berkualiti tinggi, membangkitkan perasaan nostalgik dan punya nilai sentimental yang mendalam. Ketiga, sinopsis di belakang kulit buku yang sekaligus mengajak sesiapa yang membacanya untuk berfikir. Dan terakhir, mula sahaja membaca buku ini, pasti akan terus melekat dengan keunikan dan keindahan bahasa yang digunakan. Setiap bab akan dimulakan dengan petikan dari pelbagai sumber dari watak-watak cerita itu sendiri, majoritinya dari himpunan sajak dari Syair Leluhur, catatan Saroja Ardi Sakti, catatan pengembaraan bapanya Ardi Sakti Aler di Benua Utara & Negara Pasir serta petikan-petikan dari tokoh-tokoh lain seperti Raja Parameswara dan sebagainya yang menambah warna-warni karya ini. Penceritaan yang pantas dan lancar serta diceritakan dari pelbagai sudut watak-watak yang membintangi buku ini dengan setiapnya mempunyai karakteristik yang unik dan rencam menambahkan kemuncak pembacaan.

Odisi Tanah Kencana bercerita tentang kembara seorang putera raja negeri Kuripan, Raden Inu Kartapati mencari Tuhan Yang Maha Esa sehingga sanggup meninggalkan tunangannya puteri Daha, Raden Galuh Cendera Kirana. Empat penakawannya, Jerude, Kartala, Punta dan Persanta menemaninya hingga ke Pelabuhan Tua di Tanah Kencana. Raden Galuh yang didera ayahandanya sendiri, Ratu Puspa Ningrat dan bonda tirinya, Paduka Liku dan adinda tirinya, Galuh Ajeng mengembara bersama dua penakawannya, Ken Sanggit yang berdendam dengan Kertala dan Ken Bayan untuk mencari Raden Inu. Raden Inu menyamar sebagai Si Capik dan bekerja dengan Nakhoda Sulung Setia yang menjaga dua orang anak yatim, Saroja yang mahir mengubat dan kembarnya Guruh yang panas baran. Bapa mereka, Ardi Sakti mengembara ke Kerajaan Pasir mencari Tuhan Yang Maha Esa.

Diceritakan pula kisah pemimpin agama Dewa Suci Bertiga, Ezekiel yang mengurung bapa angkatnya sendiri, Eprahem. Dia mendapatkan kebenaran pemerintah Kerajaan Utara, Raja Ferdinand untuk menyerang kapal dari Kerajaan Pasir yang menuju ke Pelabuhan Baharu Tanah Kencana membawa agama Tuhan Yang Maha Esa. Dia turut meminta bantuan ahli sihir Mervin yang berpegang kepada cerita-cerita lagenda lama.

Pertembungan kesemua watak berlaku dalam klimaks yang sangat mengujakan. Raden Galuh bersama keenam-enam penakawan bertembung dengan Raden Inu yang menyelamatkan Saroja dan Guruh dari serangan pasukan Gajah Putih dari negeri yang memuja Dewa Gajah. Mereka kemudiannya belayar dan bertembung dengan kapal putih Kerajaan Pasir yang dipimpin oleh Nakhoda Abdul Aziz, lalu bergabung dan bertempur dengan kapal hitam Kerajaan Utara yang dinaiki Mervin dan manusia raksasa berkepak sumpahan berusia ratusan tahun. Raden Inu cedera dalam pertarungannya dengan raksasa tersebut sebelum diselamatkan oleh Guruh. Sebutir batu putih milik Saroja tanda azimat kasih sayang seorang bapa kepada anaknya dititipkan kepada Semilir Raja Langit si helang gergasi dibaling Raden Inu bersama tubuhnya ke arah seekor lagi raksasa laut bersesungut yang diseru oleh Mervin sebagai langkah terakhir menyelamatkan kapal Kerajaan Pasir. Ketibaan kapal tersebut ke Pelabuhan Baharu Tanah Kencana yang diperintah oleh Raja Parameswara membawa bersama agama Tuhan Yang Maha Esa. Raja Parameswara kemudiannya mengahwini Puteri Ratna Kemala dan semua rakyat Pelabuhan Baharu memeluk agama Tuhan Yang Maha Esa.

Novel ini memuatkan pelbagai unsur simbolik yang indah dan penuh bermakna. Tanah Kencana sebenarnya adalah Semenanjung Malaysia. Pelabuhan Tua letaknya mungkin di negeri Kedah manakala Pelabuhan Baharu di negeri Melaka. Kerajaan Pasir merujuk kepada negeri Arab. Tulisan Sanskrit diilhamkan sebagai tulisan rencong, bagai bentuk tapak kaki burung, bercalit, serong atau tegak. Manakala tulisan Jawi digambarkan seperti tumbuhan menjalar yang berbunga. Penggambaran yang indah seperti ini boleh didapati hampir dalam setiap bab mengungkapkan pelbagai objek. Agama-agama yang menjadi asas penceritaan seperti agama Tuhan Yang Maha Esa, agama Dewa Suci Bertiga dan agama Dewa Gajah dengan mudah dihubungkaitkan dengan agama-agama yang masih wujud sehingga kini.

Bacalah Odisi Tanah Kencana dan hayatilah keindahan kesusasteraan Melayu. Previu buku ini boleh dibaca di LINK INI.

2 comments:

  1. Salam Adam(?)

    Terima kasih kerana sudi membaca dan memberi komen positif tentang OTK. Saya sangat menghargainya.

    srirahayumohdyusop@blogspot.com

    ReplyDelete
  2. salam kak sri,

    terima kasih kak sri kerana sudi singgah di blog saya, kalau kak sri mahu memanggil adam atau kaizar juga boleh :)

    terkini, saya baru sahaja membaca ulasan kak sri tentang filem merantau dalam beberapa entri. sangat menarik terutamanya tentang peranan seorang penulis muslim dalam dunia penulisan kini :)

    odisi tanah kencana memang suatu bacaan yang berkualiti. tahniah sekali lagi kak sri!

    ReplyDelete