Watch: In Time


Filem "In Time" selayaknya mendapat sebuah reviu penuh, bukan sekadar status-post Facebook yang pendek. Filem ini sukar untuk digambarkan dalam hanya beberapa perkataan kerana ruang lingkupnya sangat meluas, dari pelbagai aspek dan segenap dimensi. Tidak peduli siapa pelakonnya, jalan ceritanya nyata yang terbaik dan tidak salah jika dikatakan, sebuah "masterpiece" atau mahakarya yang terbaik tahun ini. Jika tahun lepas disajikan dengan "Inception" dan tahun-tahun sebelumnya dengan trilogi "The Matrix", "In Time" sebuah filem sai-fai yang setanding dengan kedua-duanya, malah tidak keterlaluan jika dikatakan garapan yang lebih baik dari segi tarikan emosi dan kemanusiaan.

Berlatarbelakangkan kisah pasangan "Bonnie & Clyde" dan anti-hero "Robin Hood", setting filemnya mudah: proses penuaan manusia berhenti pada usia 25 tahun dan masa adalah matawang, secara literalnya. Masa adalah tol yang perlu dibayar antara sempadan zon masa. Kaya vs miskin. Kisah menyayat hati antara Will dan ibunya,  Saat mendebarkan semasa Will mempertaruhkan nyawanya dalam perjudian. Perasaan berbelah bagi dengan nasib Timekeeper. Melonjak kegembiraan semasa kekalahan dan kematian pencuri masa yang bangsat. Dan semestinya, degupan jantung, denyutan nadi dan debaran hati yang ikut sama dalam saat-saat mencemaskan tatkala Will dan Silvia hampir kehabisan masa.

Jika anda punyai masa, tontonilah filem ini.